Thursday, September 24, 2009

KEJUTAN HARIJADI

KANGAR: “Hancur hati apabila melihat isteri terlebih dulu merayakan ulang tahun kelahirannya dengan lelaki lain dalam bilik hotel, sedangkan saya membeli kek kesukaannya dan sejambak bunga untuk diraikan bersama di rumah,” luah seorang suami yang kecewa dengan perbuatan curang isterinya apabila ditangkap khalwat, awal pagi semalam. Suami berusia 31 tahun dari Sungai Petani, Kedah, itu berkata, dia melihat dengan jelas kecurangan isterinya bersama seorang lelaki bukan Islam ketika pegawai pencegah maksiat Perlis melakukan serbuan di bilik hotel terbabit. Katanya, kelmarin, genap usia isterinya yang ke-31 tahun dan dia bercadang membuat kejutan untuk meraikan sambutan bersama dengan membeli kek krim buah dan sejambak bunga tanpa pengetahuan isteri. “Selepas membeli kek dan bunga, saya pulang ke rumah di Sungai Layar, Sungai Petani. Apabila tiba berhampiran pekarangan rumah, saya melihat kelibat isteri masuk dalam sebuah kereta dan memandu seorang diri.


“Disebabkan berasa tidak sedap hati, saya terus mengekori isteri dan rupa-rupanya dia memandu sampai ke sebuah hotel di Kangar,” katanya ketika ditemui di sini.
Wanita terbabit ditahan ketika sedang berdua-duaan dengan seorang lelaki Cina dalam sebuah bilik hotel oleh sepasukan empat anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) jam 5.30 pagi. Wanita yang bertugas sebagai pegawai imigresen di Sungai Petani itu, sanggup memandu kenderaan sejauh 80 kilometer untuk melakukan maksiat bagi meraikan ulang tahunnya bersama lelaki berusia awal 30-an dari Perlis itu. Suami terbabit yang bertugas sebagai juruteknik kanan di sebuah kilang di Sungai Petani berkata, dia terserempak dengan anggota Jaips yang melakukan serbuan di bilik hotel terbabit. “Saya kaku sebentar melihat kelibat isteri bersama lelaki lain dalam bilik hotel itu. Kami mempunyai dua anak perempuan berusia dua dan enam tahun hasil perkongsian hidup sejak lapan tahun lalu,” katanya sambil menunjukkan kek buah bernilai RM35 yang dibelinya untuk isteri kepada petugas media di sini. Dia berkata, khabar angin yang didengarnya sebelum ini berhubung kecurangan isterinya yang mempunyai empat telefon bimbit ternyata benar. “Saya mengakui sudah pasrah dengan kejadian itu dan selepas ini, tumpuan saya hanya kepada dua anak perempuan. Saya akan memberi didikan agama sempurna kepada mereka,” katanya. Sementara itu, Pengarah Jaips, Abdul Malik Hussin, mengesahkan penahanan wanita dari Sungai Petani itu bersama lelaki bukan mahram dalam sebuah bilik hotel, bagaimanapun lelaki berkenaan dibebaskan kerana bukan Islam. “Hasil maklumat awam, empat anggota Jaips bergegas ke lokasi dan mengetuk pintu bilik hotel sebelum dibuka seorang wanita dan hasil pemeriksaan kami menemui seorang lelaki bukan Islam di atas katil. “Wanita yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Sungai Petani memberi alasan kononnya sedang mengadakan perbincangan perniagaan dengan lelaki berkenaan ketika serbuan jam 5.30 pagi,” katanya. Beliau berkata, wanita terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 9 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. “Selepas mengambil keterangan, wanita itu dibebaskan dengan bon jaminan RM2,000 yang dibayar seorang penjamin kira-kira jam 12 tengah hari dan kes akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah, Rabu ini,” katanya

Thursday, August 20, 2009

MASALAH TABIAT SUKA ONANI

SAYA wanita berumur 27 tahun, sudah empat tahun berkahwin dan ada anak perempuan berumur tiga tahun. Saya dan suami berkahwin selepas tujuh tahun menyulam cinta. Dia suami yang baik dan penyayang.

Bagaimanapun, ketika hamil hidup saya mula tertekan selepas dapat tahu suami gemar beronani. Apabila dia menonton filem Hindustan wanita menari dan pakai pakaian seksi, dia beronani sehingga klimaks.Dia ingat saya tidak tahu. Sebenarnya saya tahu tapi mendiamkan diri kerana tidak mahu dia malu. Namun, saya akhirnya hilang sabar apabila dia masih teruskan tabiat itu di belakang saya.Lama kelamaan perangai gila seks suami saya makin parah. Satu hari Allah sengaja nak tunjukkan pada saya. Suami sangka saya tidur ketika dia asyik menonton cerita Hindustan di televisyen.Saya lihat dia menyentuh kaca televisyen yang ketika itu menayang dada perempuan menari. Malah, dia juga menjilat dada perempuan dalam kaca televisyen itu.Hancur luluh hati melihat suami bersikap gila seks begitu. Ketika itu umur anak kami setahun. Saya menasihatinya cara baik, tapi dia hanya diam dan senyum.Di belakang saya, dia masih melakukan perbuatan memalukan itu. Ketika anak berumur dua tahun, saya ulangi nasihat kepadanya dan memberitahu perbuatannya berdosa, namun dia masih melakukannya.Kadangkala dia tidak melakukan hubungan kelamin bersama saya sehingga lebih sebulan, tetapi dia puaskan dirinya dengan onani dan berimaginasi mengenai wanita seksi yang ditontonnya dalam televisyen.Dang Setia, saya tidak sangka mendapat suami gila seks seperti ini. Pernah satu hari dia tinggalkan saya di rumah kawan pada waktu malam dan pulang ke rumah.Ketika itu adik perempuan saya tinggal dengan saya. Selepas itu adik saya beritahu, suami saya bersikap lain macam dengannya. Tidak mahu perkara buruk berlaku, saya terus hantar adik saya pulang ke kampung.Ini kerana saya pernah lihat cara suami memandang adik saya dari bawah ke atas penuh bernafsu. Dang Setia, ketika menulis surat ini, tangan saya menggigil dan hati saya hancur. Saya kini berubah menjadi pendiam, tapi suami tak pernah kisah.Saya bangun malam untuk menunaikan solat tahajud dan berdoa semoga dia berubah. Saya pernah bertanya adakah dia tidak puas bersama saya dan sebab itulah dia suka beronani, tapi dia buat tidak tahu.Kebelakangan ini dia suka merakam aksi perempuan tidak berbaju untuk disimpan dalam telefon bimbitnya. Mungkin mudah untuk dia beronani di luar rumah tanpa pengetahuan saya.Saya sudah letih dengan hal ini dan sangat tertekan. Saya masih menghormatinya sebagai suami. Saya sanggup bekerja biarpun sebagai kuli demi meringankan beban suami yang gaji tidak seberapa.Saya juga beritahu suami, jika ada perempuan lain yang dia suka, kahwinlah. Saya reda jika Allah takdirkan saya hidup bermadu. Namun, saya tidak mahu bercerai kerana tidak rela anak saya hilang kasih sayang ayahnya.Demi Allah, saya reda biar hati saya menderita asalkan anak bahagia. Saya tidak tahu apakah suami saya mampu berubah, cuma saya harap dia bertaubat sebelum sakaratul maut.Saya ubah rambut, jaga kesihatan dan berat badan. Saya sentiasa mencantikkan diri dengan alat solek dan melakukan diet senaman, tapi saya rasa seperti sia-sia. Dang Setia, tolonglah saya.

ZI JAWAPAN
Apabila sampai ke tahap menjilat kaca televisyen yang memaparkan perempuan seksi dan lebih sebulan tidak meniduri isteri, sebaliknya nafsu dipuaskan dengan beronani, Dang Setia berpendapat suami puan termasuk dalam kategori berpenyakit atau orang sakit.Puan, orang sakit perlu dibawa berjumpa doktor pakar yang mampu mengubatnya. Mungkin, pakar sakit tuan seperti Dr Ismail Thambi paling sesuai untuk puan dan suami jumpa atau hubungi bagi mendapatkan nasihat..Atau mungkin juga suami puan boleh dirujuk kepada pakar psikologi kerana masalah dicetuskannya ada kaitan dengan masalah jiwa dan mental.Bagaimanapun, Dang Setia percaya besar kemungkinan suami puan keberatan berbuat demikian. Biasalah, orang yang sakit mental biasanya tidak mengaku mereka menghidap penyakit itu.Jika betul telahan Dang Setia, puan jangan kecewa, sebaliknya tidak salah jika puan pergi berjumpa pakar itu bersendirian kerana sekurang-kurangnya ada nasihat yang boleh puan gunakan untuk berdepan suami.Dang Setia bukan pakar dalam bidang ini, justeru Dang Setia minta maaf kerana tidak dapat banyak membantu puan. Lagipun Dang Setia bimbang, memberi nasihat salah pasti memburukkan lagi keadaan.Bagaimanapun, tidak salah rasanya untuk Dang Setia sekadar menasihatkan puan supaya tabah, banyak bersabar dan jangan berterusan menyimpan persepsi buruk terhadap suami.Dang Setia akui, masalah dicetuskannya memang mengecewakan puan sebagai isteri. Sudah lumrah, isteri manapun pasti berperasaan seperti puan jika suami mereka bersikap seperti suami puan..Cuma, puan perlu rasional dan tidak boleh terburu-buru. Sebab itu Dang Setia mahu puan melihat masalah suami sebagai satu penyakit.. Dengan berpandangan begitu, sekurang-kurangnya puan faham dia perlukan bantuan dan rawatan.Dang Setia puji sikap puan yang masih melayan dan menghormatinya sebagai suami. Ya, begitulah seharusnya dan teruslah dengan tindakan terpuji itu sambil berusaha memastikan suami puan mendapat rawatan pakar.Dang Setia juga tidak mahu puan menganggap usaha puan mengubah gaya rambut, jaga berat badan dan mencantikkan sebagai sia-sia. Percayalah, jika itu tidak puan lakukan, masalah mungkin menjadi lebih rumit.Jangan lupa, isteri mencantikkan diri untuk kegembiraan suami adalah perkara yang digalakkan Islam. Melakukannya dengan ikhlas, insya-Allah puan mendapat pahala. Jadi, ia bukan perbuatan sia-sia.Akhir sekali, pada pandangan Dang Setia yang kurang arif dalam hal hubungan seksual dan masalah mental ini, masalah kurang komunikasi mungkin menjadi antara punca suami puan berperangai seperti gila seks dan bersikap dingin terhadap puan..Maksud Dang Setia, memang resam orang Melayu menganggap seks sebagai perkara sensitif dan tidak boleh dibual atau dibincangkan, biarpun antara suami isteri.Sedangkan antara keperluan untuk pasangan suami isteri mencapai kepuasan maksimum dalam melakukan hubungan seks ialah belaian dan perbualan romantik, selain berterus-terang mengenai ‘apa yang lebih dan apa yang kurang’.Nyata situasi itu tidak berlaku pada puan kerana bila puan bertanya suami adakah dia tidak puas melakukan hubungan seks dengan puan, dia hanya buat tidak tahu.Oleh itu, memandangkan suami puan agak pasif dan bersikap tertutup dalam membicarakan soal seks, puan perlu memainkan peranan lebih dominan untuk mengubah sikapnya dengan cara sering mengajaknya berbual mengenai hubungan seks anda berdua

Tuesday, August 18, 2009

SEBAT DEPAN KHALAYAK

Oleh Zaitie Satibi dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz am@hmetro.com.my

IPOH: “Saya agak terkejut dan terkilan apabila dimaklumkan bahawa anak saya, Kartika Sari Dewi akan menjalani hukuman sebat di Penjara Wanita Kajang, di mana tempatnya tertutup. “Seboleh-bolehnya saya mahu hukuman dijalankan di tempat terbuka agar dapat memberi pengajaran kepada orang lain supaya mengambil iktibar daripada hukuman itu. Jika hukuman itu dijalankan dalam penjara, mungkin mesej berkenaan tidak kesampaian,” kata Shukarnor Mutalib, 60, bapa kepada model sambilan yang didapati bersalah atas tuduhan meminum arak, bulan lalu. Dia juga mempertikaikan mengapa anaknya perlu dibawa ke penjara kerana Kartika Sari bukan seorang banduan dan hukuman penjara yang dijatuhkan kepadanya sudah diketepikan. Pada 20 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang, menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan terhadap Kartika Sari, 32, selepas disabitkan kesalahan meminum arak.

Terdahulu, pada 1 Disember tahun lalu, wanita itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating, Kuantan, kira-kira jam 11.40 malam, 11 Julai 2008.
Shukarnor berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pegawai Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari semalam, yang memaklumkan Kartika Sari perlu melaporkan diri di Penjara Kajang, Selangor, pada 24 Ogos ini untuk menjalani hukuman sebat. “Saya terus menghubungi Kartika untuk memaklumkan hal berkenaan dan dia bersetuju bertolak pulang ke kampung sebelum ke penjara bagi menjalani hukuman berkenaan. “Difahamkan, Kartika akan ditahan seminggu untuk menjalani hukuman sebat dan selepas itu Kartika akan dibebaskan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Bagaimanapun, Shukarnor berharap hukuman sebat ke atas anaknya dilaksanakan di depan khalayak iaitu di tempat terbuka seperti dikehendaki Kartika Sari sendiri. Usaha Harian Metro menghubungi Kartika Sari bagaimanapun gagal kerana difahamkan wanita itu kini dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Sungai Siput, dekat sini, selepas bertolak dari Singapura, kira-kira jam 4 petang semalam. Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, semalam, mengeluarkan waran penahanan terhadap ibu kepada dua anak itu yang dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah meminum arak, bulan lalu.Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari ditahan berkuat kuasa 24 Ogos ini bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan.Mahkamah bagaimanapun bersetuju mengeluarkan waran pelepasan ke atas Kartika dalam tempoh kurang dari tujuh hari sekiranya hukuman sebatan dilaksanakan lebih awal.Terdahulu, Timbalan Pendakwa Syarie Saiful Idham Sahimi memfailkan tiga permohonan bagi memohon perintah menahan Kartika di Penjara Wanita Kajang, perintah menguatkuasakan hukuman sebatan secara syariah dan permohonan perintah pelepasan selepas hukuman dijalankan.Permohonan berkenaan dibuat selepas tempoh rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan pada 20 Julai lalu, berakhir pada 3 Ogos lalu. Tiada sebarang rayuan dikemukakan pihak Kartika Sari Dewi. Abdul Rahman membenarkan semua permohonan itu dalam kamarnya.Dakwaan terhadap Kartika dibuat mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.Sejurus selepas dijatuhi hukuman enam sebatan pada 20 Julai lalu, Kartika Sari dipetik sebagai berkata, dia rela dirinya disebat kerana jika tidak dikenakan hukuman itu, mungkin dia tidak insaf hingga sekarang.“Saya akan terima hukuman di dunia. Hukuman di akhirat kelak biar Allah s.w.t yang menentukannya. Saya menghormati keputusan mahkamah dan mengaku itu kesalahan saya, bukannya kesalahan ibu bapa, keluarga saya atau orang lain.“Justeru, saya memohon mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu memandangkan mahkamah belum memberitahu bila hukuman ini akan dijalankan,” kata Kartika Sari.Dia yang dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah meminum arak, memohon mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan supaya dia boleh menumpukan masa depan bersama keluarganya.“Saya anggap ini ketentuan Allah dan balasan kepada saya kerana memandang ringan soal agama. Sekiranya kejadian ini tidak berlaku mungkin saya masih lagi ‘hanyut’ dalam keseronokan dunia.“Namun, saya bersyukur keluarga saya tetap menerima saya walaupun sudah menconteng arang dan memalit lumpur ke muka mereka,” katanya sambil menitiskan air mata.Dia yang berasal dari Sungai Siput, dekat Kuala Kangsar, menetap 15 tahun di Singapura sejak berkahwin dengan warga negara republik itu dan mempunyai dua anak berusia tujuh dan lima tahun.

Monday, August 3, 2009

KAMU SEMBAHYANG 5 WAKTU TAPI.....

Kamu sembahyang 5 waktu dan mungkin dengan tambahan sembahyang sunnat lainnya tetapi kamu melupakan Tuhan. Sebab Tuhan hanya kamu jadikan pesuruhmu yang tiap kali kamu suruh-suruh menuruti kemauanmu.Diluar sholat kamu tidak pernah kamu tampilkan Tuhan yang berkuasa mengatur manusia, Tuhan yang hadir dalam kehidupan publik.
Tuhan kamu kerdilkan "ada" tatkala kamu sembahyang 5 waktuperawi iszma <[EMAIL PROTECTED]> wrote:
Kamu sembahyang lima waktu tetapi...... kamu hanya ingat pada Allah hanya lima waktu itu saja dan pada masa lainnya kamu lupa padaNya.Jika sembahyangmu 10 minit , cuma 10 minit itu saja ingatanmu padaNya.Mungkin dalam 10 minit itu pun kamu ingat selain daripadaNya. Kamu sembahyang lima waktu tetapi.... kamu tidak bersyukur padanya......kamu pada dahulunya amat susah.Allah yang memberi rezeki kepadamu , dengan rezeki itu kamu dapat menampung keluargamu , membeli rumah , kereta dan sebagainya.......tetapi hatimu masih belum puas , kamu masih tamakkan harta dunia dan masih anggap dirimu serba kekurangan. Kamu sembahyang lima waktu tetapi.... kamu masih menggunakan perkataan yang kesat kepada teman teman mu , menyakiti hati mereka , menghina keturunan dan bangsa mereka seolah olah keturunan dan bangsa kamu saja yang baik baik sedangkan kamu sendiri tidak tahu tempatmu lagi di mahsyar nanti.
Kamu sembahyang lima waktu tetapi.... kamu masih sombong dengan ilmu kamu, dengan amal kamu , dengan ibadah kamu , dengan pandainya kamu berdebat dengan mereka yang tidak sehaluan dengan kamu sedangkan kamu belum tahu adakah Allah sendiri redzo dengan apa yang ada di sisi kamu itu.
Kamu sembahyang lima waktu tetapi.... kamu masih menggunakan ilmu hitam untuk menjatuhkan musuhmu ,menggunakan wang ringgit atau pun pangkat mu untuk menjatuhkan manusia yang kamu tidak suka.
Kamu sembahyang lima waktu tetapi.... kamu amat bakhil untuk mengeluarkan wangmu untuk zakat dan sedekah kepada fakir miskin kerana takut wangmu akan habis.
Kamu sembahyang lima waktu tetapi.... kamu masih menyimpan sifat dengki khianat kepada temanmu yang berjaya dinaikkan pangkat dan gaji kerana mereka berusaha bersungguh sungguh dan kamu hanya bekerja seperti hidup segan , mati tak mahu.
Kamu sembahyang lima waktu tetapi.... kamu mengabaikan anak isterimu yang kelaparan di rumah kerana kamu rasa kamu raja di dalam rumahtangga dan boleh berbuat sesuka hati kamu. Kamu sembahyang lima waktu tetapi.... kamu merungut dan mencaci maki bila kamu ditimpa musibah walaupun kamu tahu sesuatu musibah itu datang daripada Allah. Kepada siapakah kamu rasa kamu mencaci itu? Tidakkah kamu fikirkan?
Kamu sembahyang lima waktu tetapi.... Kamu menuntut ilmu semata mata untuk berdebat dengan manusia lain ataupun menduga keilmuan mereka yang tidak berilmu dan tidak sehaluan dengan kamu sedangkan tujuan kita menuntut ilmu adalah supaya kita dapat berbuat amal ibadah dengan khusyuk dan tidak melakukan syirik kepada Allah. Allah berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud "Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar". Jika kamu sembahyang 5 waktu tetapi masih melakukan perkara di atas , tidakkah kamu berfikir mungkin amal mu itu tidak diterima? Dan juga jangan lupa Allah berfirman yang bermaksud "Neraka Wail bagi mereka yang sembahyang, yang mereka itu lalai di dalam sembahyang". Ini menunjukan betapa beratnya fardu sembahyang kecuali kepada mereka yang beriman dan ikhlas dengan amal ibadahnya. Sekian, Wassalam.Yusmar @ Perawi

Sunday, July 26, 2009

AMPUN BANG

Oleh NAZARALI SAERILnazarali@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tidak ada wanita mahu perkahwinan dengan suami tersayang terhenti di tengah jalan, apatah lagi bahtera yang dibina baru berusia beberapa minggu atau bulan.Namun, isteri mana dapat bertahan jika keupayaan seksual suami sangat luar biasa, dipercayai akibat berdamping dengan makhluk halus, dan akhirnya meminta cerai.Mungkin ada yang menganggap perkara terbabit kisah karut dalam zaman serba maju sekarang, tetapi hakikatnya ada dua kes perceraian kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpunca daripada kekuatan seksual dimiliki suami.Dalam kes pertama, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata kes dikendalinya membabitkan pasangan suami isteri berumur dalam lingkungan 30-an.

“Mereka berkahwin tak sampai setahun. Dalam aduannya, si isteri memohon cerai kerana mendakwa kehendak seksual suaminya sangat kuat, menyebabkan dia tidak mampu melayan nafsu serakahnya.
“Kemusykilan berkaitan kekuatan luar biasa itu akhirnya terjawab apabila ahli keluarga wanita terbabit mendapati suaminya masih ada di rumah walaupun sebelum itu dia dilihat keluar ke tempat kerja,” katanya.Beliau berkata, beberapa saudara kandung wanita itu terdengar suara lelaki di dalam bilik tidur, sedangkan mereka melihat dia keluar pada awal pagi.“Mereka bertanya mengenai kehadiran ipar mereka di dalam bilik itu kepada ibu yang kemudian menyatakan menantunya sudah keluar.“Bagaimanapun, apabila diselidik, didapati individu di dalam bilik itu memang kelihatan seperti si suami,” katanya.Berikutan itu, kata Musa, si isteri membuat aduan di pejabat agama dan memfail permohonan fasakh kerana tidak tahan lagi melayan kehendak seks suaminya.“Ketika hadir di mahkamah, lelaki itu setuju menceraikan isterinya. Oleh itu permohonan fasakh berkenaan dibatalkan.“Anggota keluarga kedua-dua pihak mungkin tahu berkaitan kekuatan luar biasa lelaki terbabit, tetapi ia menjadi rahsia selepas bersetuju menceraikan isterinya. Jika dibicarakan, mungkin mahkamah boleh tahu perkara sebenar,” katanya.Dalam satu kes lagi, pakar Perubatan Islam Mustajab, Nazri Md Isa, mendedahkan seorang isteri yang baru berusia 18 tahun memohon cerai fasakh kerana tidak tahan melakukan hubungan seks dengan suami hingga berbelas kali setiap hari.Bagaimanapun, menurutnya, dalam kes terbabit, lelaki itu mempunyai ritual tersendiri sebelum meniduri isterinya, iaitu dengan masuk ke bilik air seketika.“Semuanya bermula apabila isteri muda itu menikahi lelaki berkenaan pada pertengahan 2008. Suaminya menunjukkan kehebatan seorang lelaki pada malam pertama perkahwinan dengan memberi nafkah batin hingga 17 kali,” katanya.Mulanya, si isteri tidak menyangka apa-apa kerana beranggapan lelaki terbabit hanya menjalankan tanggungjawab sebagai suami.Selepas keadaan itu berlarutan setiap hari, wanita itu mula terasa letih, selain hairan dengan kehebatan ditunjukkan suami.“Wanita terbabit akhirnya membuka mulut dengan menceritakan kepada ibu mentuanya, namun terkejut apabila ibu mentuanya berkata itu perkara biasa,” katanya.Selepas gagal mendapatkan kepastian daripada keluarga mentua, wanita itu memaklumkan ibu kandungnya yang membawanya membuat aduan di jabatan agama bagi mendapatkan nasihat kerana beranggapan ada kaitan kes deraan seks.Nazri berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit bertabiat pelik apabila keluar masuk bilik air sebelum meniduri isterinya.“Apabila diselidiki, dua ‘pihak’ dengan wajah saling tidak tumpah keluar masuk bilik air itu. Si suami kemudian diminta hadir ke pejabat agama sebelum merungkai misteri kekuatan luar biasa dimilikinya,” katanya.Permohonan fasakh wanita itu dipenuhi mahkamah dan kini pasangan terbabit sudah bercerai.

Wednesday, July 15, 2009

PENYEBAR VIRUS KOMPUTER CARA BARU

Oleh Afiq Hanifafiq@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Kebanyakan penjenayah siber kini mula menceroboh laman web yang sahih sebelum menghantar serangan malware kepada pengguna memandangkan kegiatan seperti itu mampu menembusi sistem keselamatan.Pengurus Pemasaran Produk Pengguna Serantau Symantec Asia Pasifik, David Hall, berkata kegiatan terbabit cuba mengaburi sistem keselamatan dan ia dilihat selamat dari diimbas."Banyak aliran virus kini cuba diubah bagi memastikan ia boleh menembusi perlindungan keselamatan kerana kebanyakan syarikat kini lebih bersedia," katanya.Dilaporkan lebih 2.5 juta laman web mengandungi malicious dikesan pada ujian terhadap Norton Antivirus dan Internet Security 2010 yang baru ini, manakala lebih 1.3 juta paten ancaman berjaya dikesan pada tahun ini saja.

Thursday, July 9, 2009

17 KES PEMBANTU RUMAH DERA MAJIKAN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kes pembantu rumah mendera majikan dilaporkan sejak 2006, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.Katanya penderaan oleh pembantu rumah itu biasanya dilakukan terhadap anak-anak majikan mereka, dan ada satu kes yang membabitkan suami majikan yang didera."Terdapat satu kes suami majikan didera pembantu rumah di mana pembantu rumah itu memberi racun tikus kepada suami tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini. Katanya kes itu sudah dibawa ke mahkamah dan disiasat mengikut seksyen 328 Kanun Keseksaan dan sudah diselesaikan, manakala pembantu rumah terbabit sudah diusir dari Malaysia.

"Kejadian pembantu rumah dera anak-anak majikan adalah sebanyak 16 kes, melibatkan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak. Setakat ini satu kes diselesaikan pada 2006 dan dua kes pada 2007," katanya.

Wednesday, July 8, 2009

UBAT BATUK/SESELEMA TAK SESUAI UNTUK KANAK-KANAK BAWAH DUA TAHUN

KUALA LUMPUR:
Kebanyakan ubat batuk dan selesema tidak sesuai digunakan bagi kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun, demikian penemuan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).Berikutan penemuan kajian semula penggunaan produk ubat batuk dan selesema dalam kalangan kanak-kanak itu, PBKD membuat keputusan untuk mengambil tindakan kawal selia untuk mengehadkan penggunaan produk untuk batuk dan selesema bagi kanak-kanak, kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Eisah A Rahman dalam satu kenyataan hari ini.Beliau berkata amaran keselamatan iaitu "Tidak sesuai digunakan di kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun" dan "Digunakan dengan berhati-hati dan mengikut nasihat doktor/ahli farmasi bagi kanak-kanak yang berumur di antara 2 hingga 6 tahun", wajib dinyatakan dengan jelas pada label dan sisipan bungkusan produk berkaitan. - Bernama

Tuesday, July 7, 2009

ISTERI CURANG

Cekup isteri curang
Oleh Salman Hamat dan Mohd Firdaus Ibrahimam@hmetro.com. my

KUALA LUMPUR: Rahsia seorang wanita sering pulang lewat atau tidak pulang langsung ke rumah terjawab apabila intipan dilakukan suaminya mendapati isterinya curang dengan menjalin hubungan cinta dengan lelaki lain.Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu, berhampiran pusat perniagaan Putra Bandar Menjalara, di sini, si suami yang berusia 30-an keluar mencari isterinya berikutan tidak pulang ke rumah walaupun waktu bekerja hanya separuh hari. Menurut sumber, si suami bersama dua anak dikatakan terserempak isterinya sedang bermesra dalam sebuah kenderaan di sebuah tempat letak kereta dan mula mengintip gelagat mereka selama beberapa minit.“Tidak tahan melihat gelagat intim isterinya, si suami memukulnya menggunakan besi pengunci kereta.“Ini menyebabkan berlaku pergelutan antara si suami dengan kekasih isterinya menyebabkan si suami cedera sebelum dia meninggalkan kawasan itu,” katanya.Difahamkan, sebelum ini, si suami sering menasihati isterinya agar tidak menjalinkan hubungan dengan kekasihnya berikutan lelaki itu juga sudah berkeluarga.Perasaan curiga si suami itu mula timbul selepas terbaca mesej ‘ayat cinta’ dipercayai dikirim kekasih isterinya itu menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS) dalam telefon bimbit isterinya.Bagaimanapun, ia dinafikan dengan alasan tersalah hantar. Berikutan kejadian itu, si suami membuat laporan polis di Balai Polis Kepong, di sini
--

Saturday, July 4, 2009

BIASISWA NASIONAL

Muhammad Faisal Abdul Aziz Fri Jul 03, 09 7:24:47 pm MYT

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada cadangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini.
Biasiswa tersebut dicadangkan untuk diberi berdasarkan merit sepenuhnya. Ini bermakna biasiswa tersebut akan diberikan kepada pelajar berkelayakan yang terbaik tanpa mengira kaum.
PKPIM berpandangan bahawa cadangan tersebut perlu diperhalusi dengan baik dan teliti tanpa menidakkan sedikit pun hak kaum lain untuk memperolehi bantuan tajaan bagi menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.
PKPIM ingin menarik perhatian semua kepada beberapa isu penting yang perlu diberi pertimbangan sewajarnya sebelum bersetuju dengan cadangan mewujudkan Biasiswa Nasional.
Pertama; PKPIM melahirkan kegusaran terhadap masa depan para pelajar Bumiputra yang berada di luar bandar. Perbezaan ketara dapat dilihat di antara kedudukan para pelajar Bandar dan para pelajar luar bandar dari sudut infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang tidak dinafikan, mempengaruhi pencapaian akademik mereka.
Dengan segala kekurangan dan kelemahan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang dihadapi oleh para pelajar luar bandar berbanding para pelajar di bandar, adilkah mereka bersaing untuk merebutkan tajaan biasiswa yang ditawarkan?
Kedua; PKPIM ingin memperingatkan tentang kewujudan Perkara 153 Kurungan (2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perizapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya termasuk biasiswa untuk orang Melayu dan Bumiputra bagi mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak.
Sekalipun, Biasiswa Nasional adalah dibezakan dengan biasiswa JPA sedia ada, namun perlu diingatkan bahawa biasiswa JPA sedia itu juga sudah diperkurangkan kuotanya untuk Bumiputra sehingga tinggal 55 peratus berbanding 90 peratus sebelum ini.
Maka, apakah jaminan kerajaan bahawa kebajikan pendidikan para pelajar Bumiputra dapat dijamin?
Ketiga, PKPIM melahirkan kerisauan terhadap tindak tanduk kerajaan yang seolah-olah melatah dengan isu kesamarataan yang dibangkitkan oleh parti pembangkang.
Dengan mengambil definasi keadilan sebagai memberikan hak kepada yang berhak, maka adalah perlu untuk kerajaan menilai pemberian biasiswa bukan hanya kepada yang berkelayakan dan terbaik semata-mata, tetapi turut mengambil kira mereka yang berkelayakan dan memerlukan.
Bukanlah soal perbezaan kaum yang menjadi persoalan utama sekarang, tetapi soal siapa yang lebih memerlukan tanpa menidakkan keperluan kelayakan yang perlu ada padanya untuk mendapat biasiswa.
Justeru, PKPIM menyarankan kepada kerajaan untuk memberikan tumpuan penuh kepada usaha untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pendidikan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman yang rata-ratanya dipenuhi oleh mereka yang tidak berkemampuan terlebih dahulu.
Jika segala permasalahan pendidikan di sekolah berkenaan telah diselesaikan, maka wajarlah pemberian sebarang keistimewaan dibuka kepada persaingan berasaskan merit.
Dalam perkembangan berkaitan, isu yang melibatkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan juga harus diberi perhatian. Sebarang polisi yang dicadangkan dan diputuskan perlaksanaannya harus menurut peruntukan yang diwartakan.
Oleh yang demikian, prinsip satu Malaysia itu perlu dilaksanakan dan direalisasi berlandaskan lunas undang-undang dan perlembagaan persekutuan. Maka, bagi tujuan pendidikan, kerajaan seharusnya menyalurkan biasiswa penuh kepada seluruh mahasiswa bumiputera memandangkan perkara tersebut adalah salah satu hak yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, tanpa menafikan masa depan pelajar bukan bumiputera, kerajaan turut digesa untuk menyalurkan suatu skim bantuan kewangan khas yang mencukupi kepada mereka yang layak.
Untuk tujuan tersebut, kerajaan harus menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk membuat pelaburan dalam bidang pendidikan. Dalam masa yang sama, kerajaan juga boleh mengenakan cukai beberapa peratus ke atas keuntungan syarikat besar khusus bagi tujuan pendidikan.
Maka, sudah tiba masanya bagi kerajaan memikirkan pendekatan yang terbaik yang mampu memuaskan hati semua pihak bagi menangani isu biasiswa ini bagi memastikan masyarakat yang seimbang dapat dilahirkan pada masa akan datang.
Sementara itu, peruntukan keistimewaan yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan seharusnya terus diambil kira dan dihormati oleh semua pihak terutamanya ketika memutuskan sesuatu dasar.
----
Muhammad ialah Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

KERETA TUA TAK DAPAT INSURAN

Oleh Kamarulzaidi Kamis kamarulzaidi@bharian.com.my
Syarikat enggan lindung kenderaan bawah RM10,000 KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat insurans kini menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga bawah RM10,000, termasuk teksi kerana dianggap merugikan. Berdasarkan aduan yang diterima Berita Harian, syarikat terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans. Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas yang bernilai bawah RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara yang didaftar antara 1994 hingga 1999.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima banyak aduan mengenai perkara itu, terutama daripada pemilik teksi yang berusia 10 tahun ke atas. Sehubungan itu, Fomca menggesa pihak berkuasa khususnya Bank Negara Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memberi penjelasan berhubung perkara itu kerana ia akan menimbulkan masalah kepada pemilik kenderaan terbabit. Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata tindakan itu tidak adil kepada pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah yang menggunakan kenderaan bernilai di bawah RM10,000.
"Kerajaan masih membenarkan rakyat menggunakan kenderaan berusia lebih 10 tahun. Saya tidak faham mengapa syarikat insurans tertentu enggan menerima permohonan dan pembaharuan insurans bagi kenderaan di bawah RM10,000," katanya. Mohd Yusof berkata, syarikat insurans tidak mungkin menanggung kerugian selagi kenderaan berkenaan tidak terbabit dalam kemalangan. "Setahu saya, masih tidak ada statistik rasmi yang menyatakan bahawa kadar kemalangan bagi kenderaan bernilai bawah RM10,000 atau berusia lebih 10 tahun adalah tinggi. Lagi pun, nilai yang dilindungi adalah rendah berbanding kereta baru," katanya. PIAM ketika dihubungi semalam memberi jaminan akan meneliti aduan itu.
Sementara itu, sebuah syarikat insurans terbabit ketika dihubungi menjelaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kajian mendalam mengenai risiko dan keuntungan pada peringkat syarikat yang dibuat dari semasa ke semasa. Jurucakapnya berkata, pihak syarikat sudah tentu mahu menjana keuntungan dan segmen perlindungan kenderaan di bawah RM10,000 dikenal pasti membawa kerugian kerana banyak tuntutan diterima. Bagaimanapun, kajian peringkat syarikat akan terus dilaksanakan dan kemungkinan segmen itu diberi perlindungan semula jika ia didapati tidak berisiko tinggi pada masa akan datang.

Thursday, July 2, 2009

AYAT CINTA MAT AFRIKA

Oleh Ibrahim Isaibrahim@hmetro.com.my

KLUANG: Bisikan cinta dan janji manis tiga lelaki dari Afrika membuatkan sebilangan gadis sepi yang ingin mencari pasangan hidup dibuai mimpi indah hingga tidak menyedari mereka menjadi mangsa penipuan terancang.Bermula dengan perkenalan di laman sembang, lelaki terbabit bijak bermain perasaan bagi meyakinkan gadis tempatan mempercayai kata-kata mereka termasuk menghadapi masalah kewangan.Lelaki warga asing terbabit turut mempergunakan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan untuk mendapatkan kemudahan akaun bagi menjalankan transaksi antara bank dengan mangsa. Gadis sepi yang kemaruk cinta dan mempunyai pendapatan tetap sering menjadi sasaran tiga lelaki terbabit.
Selepas wanita tempatan terpikat pujuk rayu lelaki warga Afrika terbabit, mereka mula meluahkan pelbagai masalah berkaitan kewangan dan memohon pertolongan dengan tawaran ganjaran besar seperti berlian, telefon bimbit, wang tunai dan komputer riba.
Bagaimanapun, sepandai-pandainya tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga apabila lelaki warga Afrika terbabit yang disyaki sudah menipu ramai gadis di negara ini ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad, berkata kegiatan warga Afrika itu dibongkar dalam kejadian 18 Jun lalu apabila seorang wanita berusia 27 tahun menerima panggilan daripada seorang daripada tiga lelaki Arfika terbabit yang mendakwa kononnya menghadapi masalah berikutan barang yang diimport ditahan di Pelabuhan Klang.“Mangsa dan lelaki itu dipercayai sudah berkenalan kira-kira dua bulan lalu menerusi laman sembang dan apabila menyatakan masalahnya, lelaki terbabit berpura-pura meminta bantuan kewangan untuk mengeluarkan barangnya.“Sebagai ganjaran, wanita itu dijanjikan sejumlah wang tunai, berlian, telefon bimbit dan komputer riba sebaik barang yang ditahan itu dikeluarkan.“Terpedaya helah lelaki terbabit, mangsa membuat tiga transaksi memindahkan wang RM11,200 ke dalam beberapa akaun di Kuala Lumpur dan Selangor sambil menunggu barang dijanjikan,” katanya.Selepas menunggu beberapa hari, namun belum mendapat ganjaran dijanjikan, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, 21 Jun lalu.Hasil siasatan bersama pasukan IPD Kluang dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, pihaknya melakukan beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya bermula 23 Jun lalu.“Berikutan beberapa serbuan, kami menahan tiga lelaki iaitu dua dari Ghana manakala seorang lagi dari Nigeria.“Selain itu, kami menahan empat lelaki tempatan dan seorang perempuan tempatan yang semuanya berusia 25 dan 38 tahun,” katanya.Menurutnya, beberapa barang turut dirampas termasuk lebih 20 kad ATM, tujuh kad kredit, tujuh buku bank, tiga kad pelajar warga negara asing, dua lesen memandu antarabangsa, tiga komputer riba, lapan telefon bimbit dan wang tunai RM12,100.Beliau berkata, siasatan turut mendapati tiga warga negara asing itu tidak belajar di kolej yang dinyatakan dan mereka dipercayai hanya mendaftar saja untuk mendapatkan pas dan kenalan tempatan.Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.Semua suspek direman hingga Isnin lalu sebelum diserah kepada IPD Melaka bagi siasatan kes seumpama itu.Mohamed Fawzi berkata, mangsa yang berasal dari Kluang hanya seorang dan difahamkan kumpulan terbabit turut menipu orang dari negeri lain seperti di Melaka dan Malaysia Timur.Berikutan itu, orang ramai jangan terlalu mudah terpedaya janji orang yang baru dikenali terutama menerusi Internet.“Selain itu, tawaran yang diberikan tidak munasabah berbanding apa yang diminta jadi adalah lebih baik berhati-hati supaya tidak tertipu,” katanya.

Monday, June 29, 2009

BIASISWA KEPADA SEMUA

Monday, June 29, 2009

Kerajaan digesa beri biasiswa pada semua
Saya meminta kerajaan memberikan biasiswa kepada semua pelajar yang berjaya ke menara gading tanpa memperkenalkan konsep merit sepertimana yang dikehendaki menerusi 'Biasiswa Nasional'.Kerajaan tidak rugi apa-apa untuk membiayai bidang pendidikan kepada keseluruhan bakal mahasiswa atau mahasiswi kerana mereka merupakan aset penting untuk membina sebuah kerajaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. "Kerajaan tidak rugi untuk pelaburan itu kerana selepas berjaya mereka akan membantu pentadbiran dengan membangunkan negara ke arah yang lebih stabil dan baik. Saya rasa sistem merit tidak sesuai sebaliknya berikan pada mereka yang layak melangkah ke univesiti, "Sistem merit dilihat kurang adil terutamanya pelajar yang datang daripada sekolah di luar bandar sedangkan mereka melepasi tahap atau syarat ke univesiti.
Tentunya terdapat perbezaan antara pencapaian pelajar sekolah luar bandar dan dalam bandar kerana bergantung pada segi infrastruktur. "Jika pelajar luar bandar berjaya melepasi syarat yang dikehendaki bagi kita mereka layak menerima biasiswa daripada kerajaan. Di sini pastinya terdapat perbezaan pencapaian mereka di luar bandar dan dalam bandar sedangkan mereka berkelayakan dengan syarat yang ditetapkan. Tetapi kerana adanya merit mungkin pelajar ini terkandas daripada menerima biasiswa untuk membantunya membiayai pembelajaran di menara gading, "Berlainan pula dalam dunia perniagaan seperti kontraktor di mana kerajaan memerlukan merit untuk memilih syarikat mana yang terbaik baru boleh mengamanahkan pelaksanaan projek yang ingin dilaksanakan."Merit dalam memberikan kontrak saya raya perlu kerana kita mesti memilih yang terbaik bukan yang kurang menyerlah dan kemampuan. Jika kita abaikan merit tersebut tidak hairanlah ada rosak atau runtuh dalam jangkamasa yang singkat, "

PTPTN MEMBEBANKAN PEMNJAM


SEBAHAGIAN besar peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sudah menerima penyata kira-kira pinjaman pendidikan bagi 2008. Ironinya, penyata itu masih belum mengambil kira penurunan kos pentadbiran tiga peratus kepada satu peratus, iaitu kos pentadbiran yang dikenakan berdasarkan perjanjian asal yang ditandatangani peminjam. Agaknya pihak berkenaan di PTPTN belum lagi menerima arahan mengenai tarikh sebenarnya hendak menurunkan kos berkenaan. Yang menanggung derita peminjam, rata-rata menghadapi masalah kewangan dalam kemelut ekonomi sekarang, kerana terpaksa menanggung kos tadbir yang amat tinggi itu.
Sebagai contoh, ada peminjam yang menjelaskan pinjaman RM2,526.30 sepanjang 2008 tetapi hanya dikira RM849.64 saja sebagai kredit, sedangkan bakinya RM1,676.66 dianggap sebagai kos tadbir urus, diserapkan sebagai debit, menurut kadar RM140 tiap-tiap bulan. Soalnya, untuk maksud apa kos tadbir sebanyak ini perlu dikenakan saban bulan? Jika begini keadaannya berterusan, sampai bila pun jumlah pinjaman tidak akan 'luak-luak'. Masyarakat tradisi Melayu memperkenal dan melaksanakan beberapa sistem seperti gadaian, sewa-beli, pawah, jual janji, ceti, dan sekarang along yang begitu mencengkam kehidupan masyarakat zaman berzaman. Apa pun namanya, sistem berkenaan pada ajaran Islam dianggap sebagai riba. Sesuatu yang berbau bunga dianggap riba dan haram pada sisi Islam. Ringkasnya semua jenis pinjaman dikenakan bunga adalah riba, dalam istilah Fiqhnya disebut 'Riba Al-Nasi'ah', dilarang al-Quran dan Sunnah.
Jika peminjam PTPTN adalah untuk rakyat, dan objektif kerajaan ialah 'rakyat diutamakan', maka kos tadbir pinjaman pendidikan perlu dikurangkan kepada satu peratus atau dihapuskan terus dengan kadar serta-merta. Justeru, yang baru mendaftar sebagai pelajar IPT sekarang perlu berfikir panjang sebelum memohon pinjaman agar hidup tidak dibelit hutang puluhan tahun sesudah tamat pengajian. Pegang prinsip 'Hidup bahagia tanpa hutang', biarpun terpaksa menjerut perut ketika belajar. Sejak dulu lagi, saya mencadangkan PTPTN bukan saja perlu diuruskan golongan profesional, tetapi individu yang benar-benar berdedikasi kepada tugas, hatta bijak membuat unjuran masa depan secara tepat dan proaktif.

PEMANDU BAS MARAH PENUMPANG

Kekerapan didengari keluhan penumpang dimarahi oleh pemandu bas, mungkinkah tugas pemandu ini mendapat tekanan (penat sangat) atau kerana tinggi diri (keegoan).
Dibawah ini satu contoh mengenai permasalahan diatas.

SELAMA ini saya tidak pernah mengkritik perkhidmatan pengangkutan bas awam di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, sikap atau masalah pemandu bas membuatkan saya hilang sabar. Ahad lalu, saya terpaksa menaiki bas untuk ke Kuala Lumpur. Saya menunggu bas di perhentian bas Sekolah Kebangsaan Hicom, Seksyen 27, Shah Alam. Kemudian saya menaiki bas bernombor pendaftaran WPL734, kira-kira 6.45 petang. Ketika dalam bas, saya bertanya pemandu ke mana laluan bas itu. Saya terkejut, pemandu bas menjawab dengan kasar serta perkataan yang tidak enak didengar. Salah seorang penumpang yang bersama saya dalam bas itu, juga memberitahu, dia dimarah pemandu bas sama hanya kerana telefonnya berbunyi. Saya benar-benar terkilan atas sikap pemandu bas RapidKL yang tiada budi bahasa dan bersikap kurang ajar. Saya amat berharap pengurusan RapidKL memantau pemandu supaya tidak keterlaluan dengan sikap atau perangai yang boleh menjejaskan mutu keseluruhan perkhidmatan RapidKL.

INFLUANZA A (H1N1)

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan kejadian kes luar biasa yang disebabkan oleh atypical strain of Swine Influenza Virus A(H1N1) di antara 17 hingga 23 April 2009, dimana 17 kes telah disahkan positif virus tersebut di Mexico manakala 8 kes disahkan positif di Amerika Syarikat.
Pada 25 April 2009, WHO telah mengisytiharkan situasi ini sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) dan fasa amaran pandemik telah dinaikkan daripada fasa 3 kepada fasa 4 (sustained human to human transmission) pada 27 April 2009.
Pada 29 April 2009, WHO telah meningkatkan tahap amaran daripada Fasa 4 kepada Fasa 5 di mana virus yang sama telah menyebabkan wabak yang berterusan di dua atau lebih negara dalam satu rantau WHO.
Bermula 30 April 2009, pihak WHO secara rasmi menamakan wabak ini sebagai wabak influenza A(H1N1) dan bukan lagi wabak Swine Flu atau selesema babi. Ianya disebabkan oleh analisa genetik yang dijalankan terhadap virus baru ini oleh para saintis yang membuktikan bahawa penggunaan terma selsema babi adalah tidak tepat. Tambahan pula, tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang menyatakan bahawa terdapat risiko jangkitan virus baru ini sekiranya seseorang itu makan daging atau produk babi yang diproses atau dimasak secara betul. Kementerian Kesihatan Malaysia menggunakan pendekatan yang serupa dengan menamakan penyakit influenza A(H1N1)
Pada 11 Jun 2009, WHO telah mengisytiharkan peningkatan amaran dari Fasa 5 ke Fasa 6 iaitu fasa pandemik di mana virus ini telah merebak secara berleluasa di beberapa Negara dan sukar untuk dikenalpasti rangkaian transmisi manusia ke manusia (human to human transmission) dan penularan lanjut tidak dapat dielakkan. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan mengakitfkan bilik Gerakan CPRC Kebangsaan semenjak 26 Jun 2009 bagi menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan di seluruh negara.

Thursday, April 16, 2009

PAKEJ SENGSARA

Pakej sengsara
Oleh Mary Victoria Dassmaryvictoria@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: RM50 untuk demam-demam, RM100 jika muntah-muntah. Begitu harga tawaran ‘pakej sengsara’ ilmu hitam yang ditawarkan segelintir bomoh tidak bertanggungjawab bagi menjerat pelanggan taksub kepada perkara tahyul untuk menganiaya individu dimusuhi mereka.Harian Metro difahamkan, kewibawaan golongan bomoh sesat itu diukur melalui kesan ilmu sihir terhadap seseorang hingga namanya menjadikan sebutan pelanggan.Lebih menakutkan, jenis penyakit yang konon mampu dikirimkan kepada mangsa dan tempoh penderitaan disihir bomoh mata duitan itu turut bergantung kepada nilai wang pengeras dibayar pelanggan.Ini bermakna jika mahu musuh lebih menderita, lebih mahal upah dikenakan bomoh terbabit.Beberapa bomoh yang ditemubual wartawan Harian Metro di sini mengakui terpaksa menawarkan khidmat jahat seperti itu berikutan persaingan sengit di kalangan mereka untuk mendapatkan wang mudah.Seorang bomoh yang hanya mahu dikenali sebagai Koromoh, berusia lewat 30-an, berkata dia tiada pilihan selain menawarkan khidmat itu disebabkan bilangan bomoh kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.“Di sekitar bandar raya ini dianggarkan terdapat tidak kurang 20 bomoh dan tidak hairan jika masing-masing mahu mempromosikan khidmat mereka dengan memperkenalkan pakej itu bagi memancing pelanggan.“Kebanyakan pelanggan bomoh berkenaan termasuk pekerja kilang dan suri rumah dari beberapa kawasan sekitar.“Sihir berkenaan biasanya ditujukan kepada pihak yang dimusuhi akibat perasaan tidak puas hati, dengki dan dendam,” katanya yang didatangi lima pelanggan, baru-baru ini.Menurutnya, khidmat murah dan mudah untuk membalas dendam terhadap seseorang menjadikan pelanggan semakin taksub dan percaya terhadap bomoh tanpa berfikir panjang kesannya kepada mangsa.“Pelanggan tidak perlu membawa sebarang barangan kecuali wang pengeras kerana ia akan menentukan jenis dan tempoh masa penderitaan yang bakal dialami mangsa sihir.“Menerusi perkhidmatan itu, seseorang pelanggan hanya perlu menyatakan nama mangsa dan membayar wang pengeras manakala urusan lain diuruskan bomoh terbabit,” katanya ketika ditemui di Pasir Gudang di sini, semalam.Katanya, kebiasaannya, seseorang mangsa mengalami kesengsaraan antara seminggu hingga berlarutan bertahun-tahun.Seorang lagi bomoh yang dikenali sebagai Abon berkata, ada antara pelanggannya sanggup membayar wang pengeras hingga mencecah ratusan dan ribuan ringgit semata-mata mahu melihat musuh mereka ditimpa pelbagai kesengsaraan termasuk kesakitan bagi tempoh lama.“Jika membayar lebih, seseorang itu dikatakan boleh pengsan, mengalami penyakit ganjil, muntah darah, menghadapi masalah keluarga selain membawa maut. “Pakej RM50 dianggap sebagai percubaan bagi mengenakan mangsa secara ringan-ringan, sekali gus melihat kekuatan ilmu sihir dimiliki seseorang bomoh,” katanya.Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Johor (JAJ), Mohd Nooh Kadri, berkata amalan ilmu hitam mahupun perbuatan sihir adalah perbuatan syirik kerana menyekutukan Allah.Menurutnya, ia bertujuan jahat dan tidak akan membawa sebarang faedah kepada mana-mana pihak.“Bukan saja akidah terpesong kerana mempercayai ilmu sihir, malah mendapat dosa besar kerana pengamal berkenaan melakukan perbuatan menganiaya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.